Seringkali di Facebook, banyak perkara yang dikongsi dan diviralkan
berkenaan dengan sifat pentingkan diri, sombong, ambil hak orang lain
dan sebagainya.
Hari ini, izinkan saya berkongsi kisah manis yang berlaku pada petang
tadi. Lebih manis, di hari ulangtahun kelahiran saya dan hari pertama
anak sulung saya, Aisyah mula bersekolah.
Hujan lebat turun di sekitar Shah Alam petang tadi. Saya keluar dari
perkarangan sekolah anak di Setia Alam lebih kurang jam 3.50 petang.
Hujan masih lebat. Tidak lama keluar dari susur Setia Alam menuju ke
Bukit Raja, kenderaan bergerak semakin perlahan sehingga sampai satu
saat, langsung tak bergerak. Kalau bergerak pun mungkin satu langkah
dewasa sahaja.
Saya post di Shah Alam Residents's Group, bertanyakan jika ada sesiapa
yang tahu mengapa trafik begitu teruk sekali. Rupa-rupanya ada
kemalangan di mana ada sebuah treler melintang sebelum Tol Bukit Raja
menyebabkan semua lorong ditutup.
Kebetulan ada sebuah lori roti Sweetie di depan. Dalam hujan yang masih
agak lebat, saya keluar dari kereta dan pergi mengetuk tingkap lori
sebelah pemandu.
"Boleh tak saya nak beli roti? Anak saya lapar,"
Lalu dia menyuruh saya menunggu dalam kereta, beliau akan hantarkan.
Beliau datang memberikan dua jenis roti. Saya hulur RM20 untuk membayar tetapi dia beria-ria tidak mahu mengambil duit tersebut.
"Takpe kak, saya bagi,"
Akhirnya saya mengalah dan mengucapkan terima kasih.
Anak-anak, bonda dan saya sendiri dapat alas perut dengan roti yang
diberi selama sejam terperangkap dalam trafik tidak bergerak (mungkin
lebih dari sejam).
Adik, pemandu lori Sweetie BNM9967, saya doakan agar segala urusan kamu
dipermudahkan sebagaimana kamu telah memudahkan urusan saya dan
menggembirakan hati anakanda saya.
1 September 2016, sungguh ini hadiah hari lahir yang saya akan ingat sampai bila-bila.
"Macam mana awak boleh terfikir nak keluar dari kereta dan ketuk lori depan?" soal kawan.
"Entah, saya pun tak tahu bagaimana saya boleh terfikir untuk berbuat
begitu. Mungkin saya sudah mula rimas dengan Aisyah yang merengek bila
lebih dari 20 kali sebut perkataan lapar."
Saya beritahu pada Bonda bila Bonda kata, "Entah-entah dia kena hantar saja kot? Takde lebih"
"Tak cuba tak tahu, kalau tak boleh tak apa. Kalau dia boleh bagi beli, rezeki kakak," saya jawab.
Alhamdulillah. Roti Kaya Pandan dan Roti Mexico perisa kopi, terbaik!
Masa matriks dulu, saya ketagih beli roti Sweetie isi coklat. Saya akan
hubungi majikan beliau secepat mungkin sebagai tanda penghargaan. - Nurul Bariah | PIXEL MEDIA
0 Response to " 'Kepada Pemandu Lori Sweetie BNM9967, Saya Doakan Kamu Murah Rezeki' "
Post a Comment